Kata Aluan

YBhg Prof Dato Ir. Ts. Dr. Mohd Fozi Ali ALI

Taklimat Mini Konvensyen Inovasi & Kreativiti Dan Penyerahan Mandat Penyertaan Kepada Ketua-Ketua Bahagian PPII

Assalamualaikum waroh matullahi wabarakatuh,


Alhamdulillah

bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah keizinan-Nya, dapat sama-sama kita berada di dalam sesi secara online Taklimat Mini Konvensyen Inovasi Dan Kreativiti Dan Penyerahan Mandat Penyertaan Kepada Ketua-Ketua Bahagian PPII anjuran Jawatankuasa KIK , Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur (PPII).

Objektif utama taklimat ini diadakan adalah untuk memberi penerangan berkenaan perancangan Inovatif dan Kreativiti yang telah dirangka oleh Jawatankuasa KIK kepada semua warga PPII, dengan memfokuskan kepada Pelaksanaan Mini Konvensyen InovasI dan Kreativiti yang akan diadakan pada 8 Disember 2021.

Menyorot kembali sejarah pelaksanaan Konvensyen KIK sebelum PPII diwujudkan, saya difahamkan ianya telah bermula sejak tahun 2006 yang dikenali sebagai Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) dan sejajar dengan perkembangan dan perubahan yang dilaksanakan, Konvensyen ini dijenamakan semula sebagai Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) mulai tahun 2010.


Sepanjang tempoh tersebut, dapat kita sama-sama perhatikan sejumlah idea serta sumbangan dengan elemen inovasi serta kreativiti berjaya ditonjolkan di kalangan warga Pejabat Pengurusan Fasiliti, Pejabat Pembangunan dan Pejabat Teknologi Maklumat . Hal ini membuktikan betapa pepatah melayu yang mengatakan “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya” adalah bertepatan dengan konteks semasa di PPII. Budaya kretiviti dan inovasi dikalangan warga PPII ini perlu disemarakkan semula untuk mengembalikan zaman kegemilangan KIK yang pernah dikecapi satu ketika dahulu.


Sepertimana kita sedia maklum, usaha membudayakan inovasi dan kreativiti perlu diterap dengan lebih pantas dan menyeluruh menerusi penjanaan lebih banyak idea-idea baharu. Pelaksanaan KIK ini dapat mewujudkan budaya kerja yang mantap, berinovasi, kreatif dan berpandangan jauh bagi meningkatkan kualiti kerja dan keberkesanan sistem penyampaian.


Justeru daripada itu, Pihak Pengurusan PPII dan Jawatankuasa KIK PPII akan menyediakan pentas untuk warganya berkarya serta mencurahkan segenap kreativiti dan daya inovasi yang terpendam untuk dimanfaatkan demi kepentingan penyampaian perkhidmatan di PPII dan UiTM.


Bagi memastikan inovasi yang telah dihasilkan kekal lestari, penganjuran Konvensyen KIK tidak harus dilihat sebagai satu acara tahunan semata-mata yang hanya disertai oleh peserta-peserta konvensyen. KIK seharusnya dijadikan satu mekanisme yang melibatkan penyelesaian masalah, atau penambahbaikan proses kerja dan standard yang sedia ada, atau memperkenalkan sesuatu yang baharu. KIK juga menerapkan konsep knowledge-based dan creativity driven bagi membolehkan organisasi menghasilkan inovasi yang memberi nilai tambah kepada produk atau perkhidmatan. Produk akhir KIK perlu menjurus kepada penghasilan output dan outcome yang berkualiti. Dengan itu,secara umumnya impak dan sumbangan KIK terhadap pertumbuhan dan pengukuhan ekonomi negara, pembangunan sosial serta kesejahteraan rakyat akan lebih berkesan dan boleh dimanfaatkan oleh semua pihak.


Adalah diharapkan semua warga dapat memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada pelaksanaan pembudayaan KIK di PPII. Penyerahan mandat yang dilaksanakan pada hari ini adalah untuk memastikan hasrat memperbudayakan KIK ini disampaikan kepada semua staf dan akan dipacu oleh Pengarah – Pegarah Jabatan dan Ketua – Ketua Bahagian di PPII.


Insya Allah, kejayaan boleh diperolehi menerusi kerjasama dan sokongan semua pihak terhadap perancangan dan aktiviti yang dijalankan oleh Jawatankuasa KIK PPII.


Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam menyemarakkan budaya KIK di PPII. Semoga pembudayaan kerja secara inovasi dan kreatif ini sebati dan diteruskan dengan penuh semangat oleh semua warga PPII.

Sekian, Terima Kasih,



YBhg Prof Dato Ir. Ts. Dr. Mohd Fozi Ali

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan)